Berkhatan di fasiliti berdaftar dengan KKM

PUTRAJAYA 23 Feb. – Ibu bapa yang bercadang mengkhatankan anak mereka pada musim cuti sekolah ini dinasihatkan melakukan prosedur tersebut di fasiliti yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata mereka juga perlu memastikan proses berkhatan dikendalikan pengendali dan pengamal perubatan berdaftar dengan KKM serta terlatih dalam menjalankan prosedur itu.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, KKM memandang serius peningkatan kes komplikasi selepas berkhatan yang dirujuk kepada hospital KKM dalam tempoh cuti persekolahan sepanjang 14 Disember hingga 1 Januari lepas.

Menurutnya ia melibatkan komplikasi minor seperti pendarahan dan jangkitan kuman, manakala komplikasi major seperti kecederaan pada glans penis, keradangan melampau dan pemotongan kulit berlebihan yang memerlukan pembedahan semula.

“Komplikasi ini tentu mengakibatkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak, dan membawa kepada gangguan mental serta menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak itu sendiri.

“Bawa anak ke fasiliti kesihatan yang berdekatan sekiranya berlaku komplikasi selepas berkhatan seperti pendarahan, perubahan warna pada zakar atau kulit sekelilingnya, jangkitan kuman (seperti demam, sakit dan bernanah) dan tidak boleh membuang air kecil, serta apa jua kebimbangan yang dirasakan perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa, kanak-kanak yang mahu menyertai program berkhatan hendaklah berumur tujuh tahun dan ke atas.

Ini memandangkan mereka lebih matang dan bersedia secara mental, selain mempunyai keadaan fizikal atau anatomi zakar yang normal serta sesuai setelah menjalani pemeriksaan dan disahkan doktor sebelum berkhatan,

Bagi kanak-kanak yang tidak memenuhi kriteria di atas, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat doktor dan pakar perubatan di mana-mana fasiliti kesihatan berdekatan.

Beliau turut menegaskan terdapat beberapa masalah kesihatan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak itu menjalani prosedur berkhatan di luar hospital termasuk fizikal (anatomi) zakar yang tidak normal, pendarahan dan anak berkeperluan khas dan sebagainya.

Di samping itu, katanya sekiranya anak tidak dapat memberikan kerjasama semasa prosedur dijalankan, ibu bapa dinasihatkan tidak meneruskan prosedur itu sebaliknya membawa mereka ke hospital berdekatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan selanjutnya.

Beliau berkata bagi memastikan prosedur berkhatan yang dijalankan adalah selamat, KKM menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal yang terdiri daripada pengamal perubatan kerajaan dan swasta bagi pemantauan aktiviti berkhatan di Malaysia.

Nnn

Related posts

Leave a Comment