KDN siasat fakta 3 pemimpin NGO Islam

PUTRAJAYA 19 Feb. – : Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak fakta berhubung tindakan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyenaraikan tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam negara ini dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC), kata Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail,

Beliau juga sudah menghubungi Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berhubung perkara itu bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat.

“Apa yang kita tahu ialah FBI membuat request (permohonan) berkaitan perkara itu jadi kita kena semak dahulu fakta yang tepat, saya tak bersedia untuk memberi fakta tangkap muat atau samar-samar,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari turut mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Menurut beliau, surat berkenaan adalah pemakluman secara rasmi daripada Kementerian Luar namun tidak menyangka dokumen berkenaan dibocorkan dan ditularkan di media sosial.

Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar, Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai satu usaha kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ops Ihsan diselaraskan Kementerian Luar, diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bersama lebih 50 NGO lain, termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Related posts

Leave a Comment