UMNO Beaufort mahu kerusi Klias, Kuala Penyu

BEAUFORT 18 Feb. – Mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort semalam memutuskan untuk bertanding dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Kuala Penyu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketuanya,  Awang Aslee Lakat, berkata, UMNO bahagian berharap UMNO Pusat mempertimbangkan hasrat ahli yang mahu UMNO bertanding di dua kerusi dalam Parlimen Beaufort itu.

Ketika ini kedua-dua DUN berkenaan disandang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diwakili Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), manakala Parlimen Beaufort disandang wakil UMNO.

Kerusi DUN Klias pernah menjadi kubu kuat UMNO Barisan Nasional (BN) sebelum pemimpinnya meninggalkan parti, manakala DUN Kuala Penyu pernah disandang Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ketika parti itu bersama BN.

Awang Aslee dalam kenyataannya berkata, rasional cadangan itu mengambil kira persiapan UMNO Bahagian Beaufort yang sudah menyusun jentera di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Kita juga sudah membentuk jentera PDM iaitu masing-masing sebanyak 12 PDM di DUN Kuala Penyu dan DUN Klias yang boleh digerakkan pada bila-bila masa sejurus Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Kesiapsagaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan 225 cawangan UMNO Bahagian Beaufort yang sudah disusun atur strukturnya selain kekuatan 18,000 ahli yang sudah sedia berdepan dengan PRN,” katanya.

Tempoh DUN Sabah sekarang masih berbaki kira-kira setahun setengah lagi iaitu sehingga Oktober 2025 sebelum PRN Ke-17 (PRN17) diadakan.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semasa ketika ini yang menyaksikan parti politik di Sabah mula merancang kerusi yang bakal ditandingi, ada kemungkinan DUN Sabah dibubarkan lebih awal termasuk pada tahun ini.

Related posts

Leave a Comment