PUTRAJAYA 31 Jan. – Mulai 1 Mac ini, pendatang asing tanpa izin (PATI) berpeluang pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan pendakwaan sebaliknya menjelaskan kompaun mengikut jenis kesalahan imigresen yang dilakukan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata peluang itu diberi melalui Program Repatriasi Migran yang diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Katanya , kesalahan yang dikenakan kompaun adalah memasuki Malaysia tanpa pas (RM500), tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).
“Program ini bersifat pengampunan pulang yang kita akan hebahkan supaya diguna pakai mereka yang terlibat untuk memudahkan penghantaran pulang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Kerajaan sebelum ini memperkenalkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang memberi peluang kepada majikan untuk memohon pekerja asing tanpa izin bagi mengisi keperluan tenaga kerja, namun program itu tamat pada 31 Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, pada masa ini masih ramai warga asing yang tinggal di negara ini tiada dokumen sah dan tidak memenuhi keperluan tenaga kerja.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju bahawa pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing baharu sektor formal dilanjutkan.
“Ini kerana jumlah kuota yang diluluskan dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang dilaksanakan mampu memenuhi keperluan pekerja asing.
“Pembekuan permohonan kuota telah bermula pada 18 Mac 2023 dan akan berterusan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Menurutnya, tiada keperluan untuk membatalkan pembekuan itu memandangkan tenaga asing yang diperlukan untuk sektor penting sudah mencukupi termasuk tenaga kerja asing yang bakal diperoleh daripada Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
“Selain itu, Jemaah Menteri pada mesyuarat pada hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan Pusat Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) pengurusan pekerja asing diwujudkan semula dan ditempatkan di KDN,” katanya.
Pada Mac lepas, Menteri Sumber Manusia mengumumkan penangguhan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA).
Dalam pada itu, katanya proses permohonan kuota kemasukan pekerja asing ditambahbaik melalui pengurangan tempoh masa proses kerja daripada 29 bulan 13 hari kepada 15 Bulan tujuh hari.
Katanya, proses kerja baharu ini akan bermula apabila permohonan kuota baharu dibuka semula kelak.
