KUALA LUMPUR 14 Dis. – Kesemua perkhidmatan tren Komuter Lembah Klang bagi laluan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim dan tren elektrik (ETS) yang terjejas akibat sebuah kren binaan patah antara Rawang dan Kuang, dua hari lepas telah kembali pulih.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataannya memaklumkan, tren komuter pertama bernombor 2301 memulakan operasi pukul 5.05 pagi dari stesen Tanjung Malim ke KL Sentral.
“KTMB memohon maaf sekali lagi di atas kejadian yang berlaku. Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama para penumpang yang terkesan dan menghargai perhatian serta pemahaman anda.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03 2267 1200 atau mendapatkan maklum balas segera melalui Messenger Facebook rasmi KTMB.
