KUALA LUMPUR 4 Dis. – Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan mengakui tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO ketika ini adalah satu tugas sukar, tetapi bukanlah mustahil.
Bagaimanapun buat masa ini, UMNO mesti menerima realiti bahawa orang Melayu masih jauh dari mempercayainya sebagai wakil politik mereka yang berkesan.
Katanya , keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen) Kemaman menyedarkan UMNO bahawa ia mesti mempunyai ‘resilient’ atau ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu yang semakin dinamik.
“Kemaman adalah indikasi jelas bahawa mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah perjalanan jauh, tidak ‘linear’ dan memakan masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Mohamad berkata, UMNO menghormati keputusan PRK itu dengan iltizam untuk terus menimba pengajaran darinya yang memberikan isyarat yang jelas tentang beberapa perkara dan trend penting.
“UMNO menonjolkan seorang pahlawan bangsa, dengan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang. Namun tewas juga,” kata Menteri Pertahanan itu.
Justeru, Mohamad berkata, semangat, cara kerja, strategi dan kepemimpinan , semuanya perlu sentuhan dan kecekalan baru serta kesabaran, jika UMNO ingin bersaing menjuarai semula pengaruh dan kepercayaan bangsa Melayu dalam politik.
“Ujian sebenar dalam semua ini ialah ujian ketahanan. UMNO tidak akan mudah menyerah apalagi berfikir, bahawa jalan keluar bagi meraih sokongan Melayu sudah tertutup rapi,” katanya.
PRK itu juga menunjukkan UMNO terus dijauhi golongan muda Melayu serta kelihatan masih belum berjaya ‘resonates’ dengan generasi muda sehingga penolakan golongan berkenaan terhadap UMNO sudah semakin berterusan.
“Sesuatu harus dilakukan dengan segera. Generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan diraih sokongan mereka. Hanya kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi dan keperluan kehidupan mereka,” katanya.
Di samping itu, PRK Parlimen Kemaman juga memberi pedoman bahawa mengimbangi politik perkauman dan agama adalah sukar dan kompleks.
“Bukan mudah untuk menghadirkan pilihan jalan politik sederhana. Ideologi pelampau kanan, retorik perkauman dan agama, semuanya sangat mudah untuk dimanfaatkan bagi meraih populariti.
UMNO tidak boleh tergelincir dari landasan kesederhanaannya. Ia adalah benteng penting untuk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
“Kemaman adalah cerita Kemaman. Ia hanya menewaskan UMNO tetapi tidak sesekali mematikan UMNO. Ia adalah pertandingan dalam liga demokrasi yang ada menang dan tewasnya.
Dan UMNO hanya tewas, seperti pelbagai kekalahan yang pernah ia lalui. Di lain ketika, pasti akan ada kemenangan untuk UMNO,” katanya.
Pada PRK Parlimen Kemaman Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 37,220 undi.
Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 yang diraih Raja Mohamed Affandi.
