KUALA LUMPUR 28 Nov. – Seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) hari ini mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, pagi ini.
Beliau adalah Ahli Parlimen Bersatu yang kelima dan kedua di Perak yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri yang genap setahun memeimpin Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.
Sokongan terbuka itu dibuat ketika beliau mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
Sebelum ini, Syed Abu Hussin pernah menyatakan kesediaan menyokong Anwar di Dewan Rakyat sekiranya Perdana Menteri meluluskan peruntukan pembangunan untuk kawasannya.
Beliau memohon peruntukan sebanyak RM30 juta melibatkan kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).
Selain itu, beliau juga memohon peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim yang meliputi sebanyak RM16 juta.
Dan hari ini, beliau akhirnya mengisytiharkan sokongan kepada Anwar selepas soalan asal dijawab Perdana Menteri mengenai maksud dan harapan kerajaan apabila melaksanakan konsep Kerajaan MADANI dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan Ahli Parlimen bagi membangunkan negara secara bersama.
Beliau turut bertanyakan harapan Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Ketika bangun untuk soalan tambahan, beliau ‘memberi ucapan’ berkaitan kerjasama kepada kerajaan malahan mengajak dua bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ismail Sabri Yaakob untuk bersama membantu Anwar.
“Dengan ini Bukit Gantang mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri.
“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan mewujudkan masyarakat MADANI menangani kenaikan harga dan kos sara hidup dengan mengambil ibrah Nabi Yusuf,” katanya.
Sebelum ini, sokongan bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim (7 November) dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik (8 November).
(Foto : Atas dari kiri Iskandar Kuala Kangsar; Suhaili Labuan dan AziI Gua Musang bawah kiri Zahari Jeli dan Syed Abu Bukit Gantang)
