PUTRAJAYA 26 Nov. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan pembangunan bagi negeri ditadbir pembangkang masih diteruskan walaupun tidak diberikan terus kepada ahli Parlimen.
Beliau menjelaskan peruntukan itu tidak sepatutnya diberikan buat pemimpin yang mencerca, memaki dan menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan.
“Elaun wakil rakyat kita tidak pernah singgung… saya sebut di Parlimen, peruntukan di kawasan Pas dan Bersatu kita teruskan? Projek masjid, perumahan semua kita lakukan, walau tidak salur kepada ahli Parlimen (pembangkang) tetapi salur kepada rakyat.
Mengapa nak salur pada ahli Parlimen yang cerca kita, mahu menumbangkan, maki kita… siapa kita? Seperti mana yang disebut Saifuddin ( Saifuddin Nasution Ismail) tadi, kita dianggap orang yang mencabar Islam yang mengkhianati Melayu. Maka kamu (pembangkang) cari lainlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Anwar juga secara sinis turut meminta ahli Parlimen pembangkang pergi kepada tokoh politik yang dipilih mereka sebagai penasihat ekonomi.
“Kamu sudah pilih tokoh untuk menjadi penasihat kamu, orang yang jadi penasihat kamu, pergilah dengan mereka,” katanya dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik Perikatan Nasional (PN) sebagai penasihat di empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
Pada masa sama, Anwar berkata, pembangkang gagal membuktikan bahawa mereka mampu mentadbir dengan lebih baik ketika diberi peluang sebelum ini, dan hanya menggunakan sentimen agama dan kaum untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata, pembangkang merasakan mereka saja yang bersih dan suci, dan apa yang tidak mereka sokong itu adalah tidak Islam.
“Bagilah ruang, ambillah sikap sederhana. Kritiklah dan lawanlah dalam bidang yang kamu rasa wajar dari segi dasar tapi jangan hukum dari segi akidah dan kepercayaan kami kerana dalam perdebatan di Parlimen, kamu tidak boleh buktikan yang kamu buat lebih baik daripada kami semasa kamu berkuasa.
“Peruntukan Islam tidak ditambah. Ada kes 40 hadis di sekolah untuk anak-anak. (Ditanya) sebab apa belum buat? (Jawapannya) kami sedang rancang tapi belum sempat buat.
“Jadi, saya cadang, rancanglah sebaiknya untuk berapa puluh tahun akan datang. Sementara itu, kami akan terus laksanakan dengan sebaiknya,” katanya.
