Jangan ganggu ekosistem sekolah

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Jangan ganggu ekosistem sekolah. Itu penegasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sama ada kepada pemimpin blok pembangkang mahupun kerajaan berhubung program Minggu Solidariti Palestin.

Beliau menarik perhatian, Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) di sekolah-sekolah bertujuan untuk mendidik murid dalam ekosistem sekolah dengan nilai kemanusiaan, kedamaian dan keamanan.

Dalam nada sebak, beliau berharap agar diberi ruang kepada KPM untuk melaksanakan tanggungjawab dan mengutamakan proses pendidikan bagi menyebarkan nilai kemanusiaan.

“Nirmala kemanusiaan adalah asbab utama mengapa KPM mahu tampil melaksanakan minggu solidariti ini. Anak-anak yang didedahkan dengan seribu satu emosi, memerlukan pandungan dan pedoman dalam menavigasi emosi ke arah yang lebih murni.

Ini bukan soal siapa yang terpaling Palestin. Ini bukan soal siapa yang tunduk kepada desakan-desakan dan dangkal dalam soal memilih kemanusiaan. Ini bukan soal itu.

Justeru, KPM menyahut seruan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pendirian kerajaan Malaysia untuk turut bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

“Jadi sebab itu jangan ganggu ekosistem sekolah ini. Sekolah ini dinamik sifatnya, ada pelbagai kepercayaan, ada pelbagai latar belakang dan kedinamikan ini hanya ada pada guru untuk mengenalpasti apakah program yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadhlina berkata beliau mendengar semua keluh kesah termasuk syor antara lain antaranya dari Majlis Kristian yang menyarankan agar minggu solidariti ini diisi dengan doa mengikut agama masing-masing.

Beliau menerima syor berkenaan dan terbukti ada sekolah yang melaksanakan program sebegitu.

“Sebab itu jangan bising, jangan susah hati kalau sekolah tidak ada takbir, tak ada qunut nazilah. Ada sebab kenapa ia berlangsung dalam suasana dan aktiviti yang dibenarkan dengan bersesuaian dengan sekolah tersebut,” katanya.

Fadhlina berkata, apa yang penting ketika ini adalah mesej pendidikan,  kemanusiaan, dan keamanan sejagat itu sampai.

“Anak murid kita ini jangan pandang rendah kerana mereka mempunyai kewarganegaraan nobel (mulia) merentasi kokurikulum.

“Atas sebab itu pendidikan harus bermula dengan mesej-mesej yang kuat ini supaya mereka dapat berada dalam ekosistem yang akan dapat mempersiapkan mereka dengan isu-isu yang berputar di sekeliling mereka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment