Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Lebih 5,000 individu termasuk Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang, pemimpin parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara, hari ini.

Pada himpunan itu, pemimpin politik kerajaan dan pembangkang duduk sepentas bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin.

Antara yang hadir dan memberi ucapan ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; bekas Perdana Menteri,  Dr Mahathir Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,  Mohamad Sabu.

Turut serta Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Dalam ucapan ketika perhimpunan terbabit semua mereka mendesak negara yang bersekongkol dengan rejim Israel supaya membebaskan Palestin.

Sementara itu, Ahmad Fadhli selaku penganjur himpunan, berharap mesej yang disampaikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan parti sampai ke pihak terbabit.

“Kita harap ia sampai ke Israel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan ianya tidak akan berhenti di sini.

Kempen ini akan bergerak ke semua masyarakat di Malaysia. Sumbangan juga dilakukan untuk dihantar kepada sukarelawan yang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, himpunan ini menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat serta menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan ini.

“Kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas Palestin wajar dibela dan diberikan sokongan tanpa berbelah bahagi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment