IPU tidak sihat di Bukit Rambai, Larkin

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Setakat pukul 9 pagi ini, dua stesen udara di Melaka dan Johor masing-masing di Bukit Rambai dan Larkin merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Bukit Rambai Melaka merekodkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi, 153 dengan rekod itu konsisten sejak pukul 10 pagi semalam.

IPU tidak sihat turut direkodkan di Larkin, Johor iaitu pada bacaan 126 dengan menunjukkan rekod semakin baik berbanding 133, sejam sebelumnya.

Stesen Batu Pahat, Johor yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 105 pada pukul 8 pagi berubah kepada tahap sederhana, 99 sejam berikutnya.

Sementara itu, sembilan stesen di empat negeri merekodkan IPU tahap baik iaitu di Langkawi, Kedah 22; tiga di Sabah iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing 46, Kimanis (27); Labuan (42) serta empat di Sarawak iaitu di Limbang (45), Miri (48), Mukah (39) dan Sibu (45).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Related posts

Leave a Comment