Pasukan tangani jualan senjata api secara haram

BANGKOK 8 Okt. – Sehari selepas seorang remaja melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah, Thailand akan mengatasi kelemahan undang-undang berkaitan klasifikasi senjata api dan penjualan dalam talian dalam usaha mengawal senjata apinya.

Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol berkata polis juga akan membentuk satu pasukan untuk menangani penjualan senjata api secara haram di internet.

“Pistol yang digunakan oleh penembak berusia 14 tahun itu dikatakan telah diubah suai dan pada asalnya direka untuk melepaskan tembakan kosong, bermakna ia tidak diklasifikasikan sebagai senjata maut, dan ia berkemungkinan dibeli secara dalam talian,” katanya dalam temu bual televisyen.

Dalam kejadian itu, dua orang maut dan polis berjaya menahan remaja berkenaan

dan telah bersiap untuk mendakwa remaja lelaki tersebut dengan pertuduhan pembunuhan terancang.

Undang-undang Thailand sedia ada mengenai pemilikan senjata api haram membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga 20,000 baht Thailand (AS$539.67/RM2.54 juta).

Undang-undang telah diperketatkan selepas tembakan besar-besaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Thailand, termasuk keperluan untuk penilaian perubatan bagi mereka yang ingin membeli senjata api atau memperbaharui lesen senjata api mereka.

Oktober lalu, seorang bekas anggota polis membunuh 35 orang, termasuk 22 kanak-kanak, di sebuah taska di timur laut Thailand.

Sebelum itu pada tahun 2020, seorang askar menembak dan membunuh sekurang-kurangnya 29 orang di bandar timur laut Thailand yang lain.

Berikutan kejadian tembakan pada Oktober, pentadbiran Thailand sebelum ini merangka rang undang-undang pengampunan senjata api membenarkan mereka yang mempunyai senjata tidak berdaftar mendaftarkannya atau menyerahkannya kepada pihak berkuasa semasa tempoh tangguh.

Rang undang-undang itu bagaimanapun tidak berjaya melalui parlimen menjelang pilihan raya umum Mei.

Related posts

Leave a Comment