Mangsa gempa bumi Maghribi meningkat

RABAT: Gempa bumi paling dahsyat di Maghribi sejak beberapa dekad ini mengorbankan lebih 1,000 orang setakat semalam.

Menurut pihak berkuasa, kejadian itu menyebabkan kerosakan dengan penduduk dan pelancong berada dalam ketakutan bagi menyelamatkan diri pada tengah malam.

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda kawasan pergunungan iaitu 72 kilometer di barat daya kawasan tumpuan pelancong bandar Marrakesh pada pukul 11.11 malam waktu tempatan pada Jumaat.

Gegaran kuat turut dirasai di bandar pantai Rabat, Casablanca dan Essaouira.

Ia adalah gempa bumi paling kuat pernah melanda negara Afrika Utara itu dan seorang pakar menyifatkan ia sebagai gempa terbesar dalam tempoh lebih 120 tahun di rantau berkenaan.

Angka Kementerian Dalam Negeri yang dikemas kini semalam menunjukkan kejadian itu mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 1,037 orang dengan sebahagian besar di wilayah Al-Haouz, pusat gempa bumi dan Taroudant, manakala 1,204 orang lagi cedera termasuk 721 yang kritikal.

Kementerian itu juga merekodkan kematian di wilayah Ouarzazate, Chichaoua, Azilal, Youssoufia, Marrakesh, Agadir dan kawasan Casablanca.

Related posts

Leave a Comment