ISKANDAR PUTERI 25 Ogos – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkaitan, gandingan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan menjadi satu-satunya gabungan yang mampu menyelamatkan Malaysia.
Anwar berkata aspek progresif yang didukung PH digabungkan dengan pengalaman BN dalam mentadbir negara adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan tempoh pemerintahan Perikatan Nasional sebelum ini.
“Dengan pengalaman rakan-rakan BN dan aspek progresif PH, bagi saya gabungan ini adalah satu-satunya wadah dan wahana untuk selamatkan Malaysia ketika ini,” katanya pada sesi perjumpaan bersama jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, suasana pilihan raya ketika ini lebih rumit berbanding kebiasaan kerana berlakunya perbuatan menyebarkan kebencian dan prasangka yang berterusan.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan Kerajaan Perpaduan terpaksa bertarung dengan ancaman fitnah dan asakan polemik yang boleh mengganggu-gugat hak serta keselamatan orang Melayu.
“Kita kini bertarung dengan fitnah. Pertarungan ini lebih rumit kerana ada hasutan serta mencungkil naluri batin dan bukannya berdasarkan pertimbangan rasional,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih 500 jentera parti Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan pemimpin tertinggi PH-BN Johor serta jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata dalam tempoh lapan bulan mentadbir negara, Kerajaan Perpaduan berjaya mengangkat martabat Malaysia dan menangani pelbagai isu termasuk kemiskinan, tatakelola serta memulihkan kembali ekonomi negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pentadbirannya komited dalam memastikan hak masyarakat Melayu dan Bumiputera sebagai golongan majoriti di negara ini kekal terjamin.
“Tiada sesiapa boleh pertikai negara ini dan mereka terima kehadiran Melayu dan Bumiputera sebagai majoriti. Sebab itu bahasa, agama dan hak istimewa Melayu dalam Kerajaan Perpaduan jelas dan tidak akan dimungkiri.
“Jangan ada kekhuatiran dalam soal itu, kita terima pakai prinsip dalam Perlembagaan dan tidak sama sekali meremehkan, merendahkan atau menghina siapa juga.
“Malah kita santuni dan anggap semua kaum dan agama di Malaysia sebagai satu pasukan keluarga untuk selamatkan Malaysia,” katanya.