Tuntutan dijangka selesai dalam setahun

KOTA KINABALU 25 Julai – Penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil bersih atau geran khas Sabah yang berlarutan lebih setengah abad dijangka dicapai dalam tempoh setahun dari sekarang, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata, berkata perkara itu diputuskan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Katanya, penyelesaian isu ini yang berlarutan selama 58 tahun lalu amat penting bagi memastikan Sabah menerima hasil yang menjadi hak negeri ini.

Isu tuntutan 40 peratus merujuk kepada tuntutan Sabah terhadap pengembalian hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jeffrey yang mewakili kerajaan negeri dalam jawatankuasa MA63 itu memperakui bahawa Kerajaan Persekutuan sekarang berjanji untuk menunaikan hak perlembagaan yang tertangguh itu.

Dalam kenyataannya, beliau juga memperakukan dan menghargai pemberian khas RM300 juta sebagai penyelesaian interim terhadap tuntutan hasil Sabah daripada Putrajaya tetapi menegaskan ia hanya penyelesaian sementara.

“Peruntukan interim itu hanya sebahagian daripada apa yang menjadi hak Sabah. Pemberian RM300 juta itu adalah satu langkah positif tetapi sasaran utama kita ialah merealisasikan pengembalian hasil bersih 40 peratus kepada Sabah,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Keningau itu, pembentukan satu formula baharu untuk pengagihan geran khas hasil tidak perlu memandangkan Perlembagaan Persekutuan sudah memperuntukkan mekanismenya seperti dinyatakan dalam Perkara 112D, 112C dan 112C(6), bersama dengan Perenggan 24 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Maklumat atau data yang diperlukan untuk pengiraan itu boleh dan sepatutnya disediakan oleh agensi persekutuan seperti Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sudah ada rangka kerja, jadi apa yang kita perlukan sekarang ialah data yang sesuai. Saya juga mencadangkan supaya Sarawak menggunakan formula yang sama, berbanding secara berasingan.

“Saya percaya keseragaman itu bukan saja membawa konsistensi, malah mempercepatkan proses penyelesaian dan menghindari penangguhan yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey berkata penerimaan geran RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan baru-baru ini tidak seharusnya disalah erti sebagai melepaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil yang dikutip di negeri ini.

“Tuduhan pembangkang bahawa GRS menyebabkan Sabah kehilangan hak terhadap 40 peratus hasilnya adalah tidak berasas, selain satu serangan berterusan terhadap pentadbiran GRS,” katanya.

Related posts

Leave a Comment