KUALA LUMPUR 21 Julai – Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Megat Zulkarnain Omardin mengetuai cabaran 12 calon Barisan Nasional (BN) Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Ketua UMNO Gombak itu akan bertanding di DUN Gombak Setia yang sebelum ini dimenangi calon PKR Muhammad Hilman Idham dan kemudiannya menyertai Bersatu.
Untuk rekod Megat Zulkarnain tewas pada PRU15 lalu dalam pertandingan lima penjuru di Parlimen Gombak yang dimenangi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dengan majoriti undi 12,729.
BN turut mengekalkan dua penyandang PRU14 iaitu Ketua Pemuda UMNO Selangor Imran Tamrin (Sungai Panjang) dan Ketua UMNO Sabak Bernam Rizam Ismail (Sungai Air Tawar).
Dua penyandang Shamsuddin Lias (Sungai Burong) dan Zakaria Hanafi (Semenyih) memberi laluan kepada muka baharu iaitu Khir Ramli dan Wan Zulaika Anua manakala Hulu Bernam yang disandang BN menerusi Rosni Sohar ditukar dengan Amanah yang memberi laluan di Jeram.
Bekas ADUN Semenyih dan calon BN Parlimen Hulu Langat Johan Abd Aziz akan diletakkan di DUN Dusun Tua.
Calon lain ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Jahaya Ibrahim di DUN Jeram, Ketua UMNO Bahagian Selayang, Hasnal Rezua Merican Habib Merican (Kuang) dan Ketua UMNO Bahagian Sepang Noorazli Said (Dengkil).
Isa Abu Kasim (Batang Kali), Roslee Abd Hamid (Selat Klang), dan Al-Hafizi Abu Bakar (Sijangkang).
