SEREMBAN 24 Jun- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat.
Beliau menyifatkan sebagai fitnah dakwaan kononnya perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang ditandatangani beliau dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 8 Jun lalu membabitkan blok perairan itu
“Ada yang belum selesai (dimeterai) termasuk kawasan disebut Ambalat itu, tapi mereka ‘bingai’. Ambalat itu belum selesai (belum diputuskan). Kawasan di Sabah, Pulau Sebatik pun belum selesai.
“Saya katakan dengan Jokowi, kita tandatangan (perjanjian maritim) yang sudah selesai sahaja,” katanya pada Majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai di sini hari ini.
Sebelum ini, bekas Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, dilapor menggesa Perdana Menteri dan Menteri Luar memberi penjelasan terperinci berhubung isu blok Ambalat selepas menandatangani perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia pada 8 Jun lalu.
Saifuddin dilaporkan berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci mengenai isu Ambalat supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu, beliau telah menjawab soalan berkaitan isu tersebut sambil menyatakan bahawa blok Ambalat tidak termasuk dalam perjanjian yang dicapai bersama Jokowi.
“Di Parlimen tanya dengan baik dan kita jawab dia diam. Di luar fitnah apa dia kata kita jual maruah diri, kita tak bertanggungjawab, kita khianat kepada negara.
“Nasib baik saya Perdana Menteri, kalau saya bukan, saya lesing,” katanya ketika berucap melancarkan program Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai sini, hari ini.
Anwar turut membidas pembangkang yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi masih memfitnah kerajaan dalam isu pertikaian sempadan blok Ambalat dan beberapa kawasan maritim di Sabah termasuk Pulau Sebatik.
Beliau memberitahu, pemimpin-pemimpin pembangkang gagal memberi maklumat lanjut apabila ditanya tentang ‘pakar’ yang menjadi rujukan mereka.
Ini contoh bagaimana fakta itu ditipu oleh orang yang menggelar diri mereka ustaz, sebab itu kita rujuk kepada fakta.
Anwar juga menyatakan, Malaysia mengambil pendekatan menyelesaikan isu pertindihan tuntutan sempadan wilayah maritim dengan Indonesia melalui rundingan.
“Indonesia jiran kita, saya tak mahu bermusuh dengan Indonesia, jiran saling bergantungan. Malah, saya mahu tingkatkan persahabatan Malaysia dan Indonesia,” katanya.
