PKP negeri dinilai semula

PUTRAJAYA 1 Mei – Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula ini penting bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan Covid-19 yang sedang meningkat di seluruh dunia.

Katanya, kerajaan telah menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19.

“Premis-premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif Covid-19,” kata Muhyiddin dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menegaskan, pendekatan itu selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan jangkitan Covid-19 secara bersasar.

Melalui sistem tersebut, katanya, pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi- lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi.

Muhyiddin menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan daripada berada di tempat yang sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19

Sejak beberapa minggu lalu, Malaysia terus mencatatkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 dengan kes yang direkodkan semalam sebanyak 3,788, menjadikan jumlah kes kumulatif kepada 408,713.

Related posts

Leave a Comment