Sisa plastik menyamai 2,200 Menara Eiffel.

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia dengan satu pertiga daripadanya hanya digunakan sekali, manakala kurang 10 peratus dikitar semula.

Pada masa sama, dianggarkan antara 19 hingga 23 juta tan plastik dibuang ke tasik, sungai dan laut setiap tahun, menyamai muatan penuh dari lebih 2,000 lori sampah dibuang ke lokasi berkenaan setiap hari manakala berat sisa plastik itu menyamai berat kira-kira 2,200 Menara Eiffel.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata laporan Program Alam Sekitar PBB (UNEP) menunjukkan pencemaran plastik boleh dikurangkan 80 peratus menjelang 2040 jika diguna semula, dikitar  dan mengelak menggunakannya.

Beliau menegaskan kepentingan membendung malapetaka sisa plastik kerana plastik sekali guna yang dibuang atau dibakar membahayakan kesihatan manusia dan kepelbagaian biologi serta mencemarkan setiap ekosistem dari puncak gunung hingga ke dasar lautan.

Penegasan itu dibuat dalam perutusannya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia dan ia selaras penggubalan draf perjanjian global bagi menamatkan pencemaran plastik menjelang November ini.

Guterres berkata mikroplastik kini terkandung dalam makanan, minuman dan udara.

Beliau berkata plastik diperbuat daripada bahan api fosil, lebih banyak plastik yang kita hasilkan, lebih banyak bahan api fosil yang kita bakar, sekali gus memburukkan krisis perubahan iklim.

Katanya, kaedah penyelesaian menunjukkan laluan jelas termasuk perjanjian yang mengikat secara sah yang masih berjalan, selepas lima hari rundingan membabitkan lebih 130 negara minggu lalu.

“Ini adalah langkah pertama yang menjanjikan, tetapi memerlukan komitmen semua.

Kita mesti bekerja sebagai satu pasukan, kerajaan, syarikat dan pengguna untuk memecahkan ketagihan kepada plastik, memperjuangkan sisa sifar dan membina ekonomi yang benar-benar mampan.

“Marilah kita membentuk masa depan lebih bersih, sihat dan lebih mampan untuk semua,” katanya.

Mikroplastik ditakrifkan sebagai zarah plastik sehingga diameter 5mm. Dianggarkan setiap manusia di planet ini menggunakan lebih 50,000 zarah plastik setiap tahun dan banyak lagi jika pernafasan dipertimbangkan.

Dengan sains dan penyelesaian yang ada untuk menangani masalah itu, kerajaan, syarikat dan pihak berkepentingan mesti meningkatkan dan mempercepatkan tindakan untuk menyelesaikan krisis ini, kata PBB, sambil menekankan kepentingan Hari Alam Sekitar Sedunia dalam menggerakkan tindakan transformatif dari setiap sudut dunia.

Related posts

Leave a Comment