Arab Saudi berusaha kurangkan perokok

RIYADH: Dalam usaha mengurangkan jumlah perokok di Arab Saudi, Dana Pelaburan Awam (PIF) melancarkan syarikat baharu, Badael yang akan menawarkan produk nikotin tanpa tembakau di seluruh Arab Saudi menjelang akhir 2023.

Produk syarikat itu dijangka membantu hampir satu juta orang beralih daripada kegiatan merokok menjelang 2032, mewakili kira-kira 25 peratus daripada perokok di Arab Saudi.

Langkah ini berpotensi untuk memberikan penjimatan langsung tahunan lebih SR6 bilion (RM7.36 juta) untuk perbelanjaan penjagaan kesihatan menjelang 2032.

Menurut laporan media, ia menyasarkan untuk memperluaskannya ke pasaran serantau dan antarabangsa dalam tempoh jangka panjang.

Penubuhan syarikat itu adalah menjelang Hari Tanpa Tembakau Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WHO) pada 31 Mei.

Badael ditubuhkan untuk membangun, mengeluarkan dan mengedar produk inovatif yang disasarkan untuk mengurangkan kelaziman merokok dan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dengan menawarkan alternatif bebas tembakau dan kurang berbahaya.

Badael bertujuan menangani kesan negatif merokok terhadap kesejahteraan penduduk Saudi.

Ia juga akan menyasarkan untuk melaksanakan mandat setempat PIF dengan menyokong pembuatan domestik, sumber bahan mentah, pemindahan pengetahuan dan pembangunan harta intelek (IP).

Produk syarikat akan dikeluarkan di Arab Saudi, memastikan tahap kualiti dan keselamatan produk tertinggi melalui amalan terbaik dalam kelasnya.

Visi Badael adalah untuk mengekang aktiviti merokok dan melaksanakan strategi PIF untuk meningkatkan kualiti hidup untuk semua, dan merupakan sebahagian daripada usaha Arab Saudi yang lebih meluas untuk mempelbagaikan ekonomi, menyetempatkan pembuatan dan memacu transformasi ekonomi serta penciptaan pekerjaan.

Related posts

Leave a Comment