Kematian ke-10 pendakian Everest

KATHMANDU: Seorang pendaki warga Australia meninggal dunia di Everest, kematian ke-10 di puncak tertinggi dunia itu pada musim pendakian kali ini.

Jason Bernard Kennison, 40, dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sihat pada hari Jumaat.

Sebelum ini, rakyat Malaysia, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest, yang berketinggian 8,848 meter dari paras laut.

Menurut laporan media, selepas menjadi ‘tidak responsif’ pada pendakian itu, Kennison dibawa turun ke kawasan balkoni di bawah puncak.

Berikutan silinder oksigen yang mereka bawa kehabisan, mereka memutuskan untuk turun ke Kem 4 dengan harapan dapat naik semula dengan silinder oksigen untuk menyelamatkannya.

Angin kencang dan cuaca buruk menghalang mereka untuk membawanya pulang. Dia meninggal dunia di kawasan balkoni.

Kematian Kennison adalah yang keenam dalam kalangan bukan warga Nepal, manakala empat Sherpa kehilangan nyawa mereka di Everest pada musim pendakian tahun ini.

Secara purata, lima pendaki meninggal dunia setiap musim pendakian di Everest tetapi pada 2019 seramai 11 orang maut dengan empat daripada kematian dipercayai akibat kesesakan di atas gunung itu.

Menurut Jabatan Pelancongan Nepal, hampir 450 pendaki sudah mendaki Gunung Everest musim ini.

Sebanyak 478 permit dikeluarkan kepada pendaki asing tahun ini, dengan masing-masing membayar yuran AS$11,000.

Related posts

Leave a Comment