KOTA KINABALU 4 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk projek naik taraf dan baik pulih Institusi Pendidikan Mara (IPMA) tahun ini.
Katanya, separuh daripada peruntukan itu atau RM25 juta adalah untuk penyelenggaraan dan baik pulih Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Sebanyak RM17 juta lagi diperuntukkan kepada Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan baki RM8 juta lagi kepada Kolej Mara (KM) dan Kolej Profesional Mara (KPM).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, untuk Sabah sahaja RM2.347 juta diperuntukkan khusus buat IPMA di negeri ini.
“Peruntukan untuk Sabah itu termasuklah RM250,000 yang disediakan untuk MRSM Kota Kinabalu.
Peruntukan itu adalah untuk membaik pulih perpaipan air bersih, naik taraf sistem pencegahan kebakaran dan penggantian perabot,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra selepas sesi lawatannya di MRSM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa bangga kerana Mara dan MRSM mempunyai standard pendidikan yang baik.
“Imej berprestij ini haruslah dipertahankan sebaiknya, termasuk dari segi infrastruktur dan pengisiannya,” katanya.
Dalam ucapannya juga, Ahmad Zahid mengumumkan MRSM Kota Kinabalu kini dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman.
Sementara itu Pengerusi Mara, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan terima kasih dan penghargaan atas pengumuman peruntukan pembangunan tahun 2023 berjumlah RM50 juta itu.
Katanya, pengumuman itu dibuat sebagai respon dan laporan 18 siri lawatan ke pusat-pusat Mara yang sempat dilakukan dalam tempoh sebulan selepas melapor diri di Mara pada bulan Mac 2023.
Mara juga amat berbangga dengan penghormatan untuk memasyhurkan MRSM Kota Kinabalu sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman, sempena nama mantan Ketua Menteri Sabah yang ke-14 dan mentadbir negeri di bawah bayu ini selama 15 tahun.
