Proklamasi Orang Melayu gugat kerajaan?

PUTRAJAYA 4 Mei – Proklamasi Orang Melayu yang pada peringkat awal berhadapan masalah lokasi pelancarannya kini mula mendapat reaksi balas apabila pemimpin kerajaan tampil memberi ulasan berhubung proklamasi 12 perkara itu.

Pelbagai tanggapan dibuat berhubung Proklamasi Orang Melayu itu lebih-lebih lagi setelah media sosial melaporkan pertemuan antara pimpinan Pas diketuai Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Semalam, tular gambar menunjukkan pertemuan antara Mahathir dan Hadi yang dipercayai berlaku malam kelmarin di kediaman bekas Perdana Menteri itu, yang turut disertai beberapa pemimpin Pas dan sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

Hari ini, seorang pemimpin kanan DAP tampil mendakwa, Proklamasi Orang Melayu hanya bermatlamat untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dan tidak kaitan dengan memartabatkan orang Melayu.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, menyifatkan proklamasi itu adalah propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu, bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, proklamasi 12 perkara itu bertujuan menyelamatkan orang Melayu itu amat ironi, kerana ia dicetuskan dan disokong pemimpin yang telah mengecewakan orang Melayu sebelum ini.

“Ironinya, orang yang menjadi sumber pengisytiharan ini dan mereka yang menandatangani proklamasi itu adalah pemimpin sama yang telah mengecewakan orang Melayu selama beberapa dekad.

“Dr Mahathir walaupun menjawat jawatan Perdana Menteri selama dua dekad, tidak pernah berusaha secara serius untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Melayu,” katanya melalui hantaran di Facebooknya hari ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu mendakwa, retorik perkauman dan agama telah digunakan dan dimanipulasi oleh Dr Mahathir untuk memperkayakan ahli keluarga dan kroninya.

“Sekiranya Dr Mahathir dan pemimpin Pas begitu tekad untuk memartabatkan orang Melayu, apa yang telah mereka lakukan selama ini?,” soalnya.

Ramasamy turut mempersoalkan mengapa Dr Mahathir, tidak menggunakan ‘kuasa diktator maya’ ketika menjadi Perdana Menteti selama lebih 22 tahun untuk melakukan sesuatu yang memberi impak bagi menaik taraf sosial dan ekonomi orang Melayu.

“Dr Mahathir berpendapat beliau seoranglah yang dapat menyelamatkan orang Melayu daripada penindasan dan kezaliman, tetapi dia mudah lupa, kadang-kadang sengaja dilupakan, bahawa dia adalah pemimpin yang gagal menyatukan orang Melayu,” katanya.

Beliau turut melontarkan soalan sama kepada Pas yang telah memerintah Kelantan dan Terengganu selama puluhan tahun, tetapi masih gagal mengangkat status orang Melayu di dua negeri itu yang didakwa ‘begitu miskin’, selain penduduk di Kelantan masih dihimpit isu air bersih.

Disebabkan itu, katanya, Dr Mahathir dan Abdul Hadi disifatkan sebagai tidak sesuai untuk bercakap tentang perpaduan Melayu atau untuk memartabatkan orang Melayu.

“Mahathir dan Hadi boleh terus mengulangi mantera keruntuhan kerajaan perpaduan. Ia adalah hak mereka untuk berbuat demikian. Namun, dengan mengulangi mantera keruntuhan kerajaan perpaduan, mereka secara tidak sengaja sedang mendedahkan sifat sebenar Proklamasi Melayu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment