PKR ketuai Kabinet, BN tanpa MCA, MIC

PUTRAJAYA 2 Dis. – PKR mengetuai barisan Jemaah Menteri dengan lapan orang wakil termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala UMNO menjadi komponen tunggal Barisan Nasional (BN) yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR turut memegang portfolio, Kementerian Kewangan.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilantik sebagai Menteri Ekonomi; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri),  Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi); Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Digital); Ketua Wanita, Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan).

Dr Zaliha adalah Ahli Parlimen Sekijang yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR.

BN pula gabungan kedua terbesar diwakili enam pemimpin UMNO tanpa penyertaan komponen lain MCA, MIC dan PBRS.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang turut merajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala timbalannya dalam BN dan UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menerajui Kementerian Pertahanan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik Menteri Pendidikan Tinggi, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar).

Seorang lagi, ahli MKT UMNO yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Turut mewakili UMNO adalah bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) turut mengetuai lima kementerian.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik sebagai TPM merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi dan Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan);, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) dan Datuk Aaron Ago Anak Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

DAP pula mendapat empat kementerian dengan diketuai Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan, jawatan yang pernah disandang semasa kerajaan PH lalu.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan Timbalan Setiausaha Agung VN Sivakumar (Menteri Sumber Manusia).

Amanah pula diwakili Presidennya, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Satu lagi sekutu PH, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diwakili Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah pemimpin Bersatu, Armizan Mohd Ali sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Related posts

Leave a Comment