Britain cepatkan dos penggalak

LONDON: Britain berusaha mempercepatkan program dos penggalak di negara itu.ketika Perdana Menteri Britain Boris Johnson memberi amaran negara itu kini berdepan gelombang jangkitan varian Omicron.

“Tiada siapa yang perlu ragu-ragu berlakunya gelombang Omicron dan kini jelas bahawa dua dos vaksin tidak mencukupi untuk memberikan tahap perlindungan yang kita semua perlukan,” katanya di Downing Street.

Beliau memberi amaran itu beberapa jam selepas para saintis Britain menaikkan tahap amaran Covid-19 kepada 4 mengikut skala 5 mata.

Menurut Johnson, program dos penggalak perlu bergerak lebih pantas kerana para saintis belum menentukan tahap penularan Omicron berbanding varian lain sementara dua dos vaksin Covid-19 tidak cukup untuk membendungnya.

Johnson berkata, saintis maklum bahawa varian Omicron lebih mudah berjangkit dan perkhidmatan kesihatan negara akan berjuang demi menangani kadar kemasukan tinggi ke hospital jika varian itu mengancam para penduduk yang belum mendapatkan dos penggalak.

“Saya bimbang kita kini menghadapi kecemasan dalam pertempuran kita dengan varian baru Omicron dan kita mesti segera mengukuhkan dinding perlindungan vaksin kita untuk memastikan rakan dan orang tersayang selamat.

“Empat ketua pegawai perubatan UK menaikkan tahap amaran Covid-19 kepada empat, tahap kedua tertinggi kerana kes jangkitan Omicron meningkat dua kali ganda di Britain setiap dua hingga tiga hari,” katanya.

Johnson berkata semua individu berusia 18 tahun ke atas yang layak di England akan berpeluang mendapatkan dos penggalak sebelum tahun baharu.

Minggu lalu, Johnson memperkenalkan langkah Covid-19 ‘Pelan B’ untuk England, yang mengarahkan penduduk bekerja dari rumah, memakai pelitup muka di tempat awam dan menggunakan pas vaksin bagi memperlahankan penularan Omicron.

Purata tujuh hari kes Covid-19 dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini iaitu melebihi 50,000 kes, yang tertinggi sejak kemuncak kes pada Januari lalu ketika gelombang kes terakhir.

Dengan 146,439 kematian direkodkan dalam tempoh 28 hari selepas ujian positif Covid-19 sehingga Ahad, Britain mencatatkan kadar kematian tertinggi di Eropah akibat virus itu.

Related posts

Leave a Comment