Sarawak perintis vaksinasi remaja

KUCHING 5 Sept. – Seramai 240,000 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak akan menerima vaksin mulai minggu hadapan, kata Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Dr Sim Kui Hian.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sekali lagi beliau berjaya meyakinkan rakyat di Sarawak bahawa agensi persekutuan dan negeri boleh bekerjasama memvaksinkan 240,000 remaja dalam usia berkenaan.

“Sebagai contoh pada Jun, dalam tempoh 18 hari, Sarawak berjaya memvaksin satu juta golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas,” katanya melalui kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Jelasnya, perubahan politik di peringkat persekutuan menjadi punca pelaksaan program vaksinasi untuk golongan berkenaan ditangguhkan lebih daripada dua minggu.

Tambahnya, 10 peratus daripada populasi keseluruhan di Sarawak adalah mereka yang berusia 12 hingga 18 tahun.

“Kita mesti memvaksin seramai yang mungkin populasi di Sarawak termasuk 20 peratus golongan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

“Kajian saintifik yang diterbitkan Lancet mendedahkan vaksin jenis Sinovac juga boleh digunakan untuk individu berusia tiga tahun ke atas selari dengan perubahan imuniti kelompok 70 hingga 80 peratus di peringkat global kesan daripada kemunculan varian Delta,” jelas Sim.

Semalam, Khairy  optimis Sarawak akan menjadi negeri pertama melaksanakan

Program Imunisasi Covid-19 (PICK) kepada remaja berusia 18 tahun ke bawah bermula pada minggu hadapan.

Khairy berkata, inisiatif itu susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu yang kini sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya.

Related posts

Leave a Comment