Langgar SOP, tiga surau ditutup

SEREMBAN 28 Mei  – Gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tiga surau di daerah Jempol diarah tutup selama tujuh hari bermula 27 Mei hingga 2 Jun.

Surau berkenaan adalah Surau Felda Raja Alias 1, Surau Felda Raja Alias 4 dan Surau Al-Irsyad, Rumah Rakyat Ayer Hitam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata, pihaknya bersama penguat kuasa pejabat agama Islam daerah telah membuat pemantauan selama tiga hari bermula Selasa.

Hasil pemantauan itu, ada surau dan dalam kalangan jemaahnya melanggar SOP ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Antara pelanggaran SOP yang dilakukan adalah jemaah melebihi kuota ditetapkan, tidak memakai pelitup muka, tidak membawa sejadah sendiri dan menjalankan aktiviti selain daripada solat.

Pada 20 Mei lepas, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dilaporkan berkata jumlah jemaah solat di masjid dan surau di negeri ini dihadkan hingga 7 Jun ini bagi menangani penularan kes Covid-19.

Bagi solat Jumaat dibenarkan 12 individu sahaja terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah, manakala solat fardu dihadkan kepada tiga orang iaitu imam, bilal dan siak sahaja.

Beliau turut memaklumkan,  mana-mana masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP ditetapkan akan ditutup selama seminggu.

Related posts

Leave a Comment