Mahathir sedia jadi saksi

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Ahli Parlimen Langkawi, Dr. Mahathir Mohamad menawarkan diri sebagai saksi di mahkamah sekiranya keterangan beliau diperlukan berhubung tindakan 10 pengundi Parlimen Gombak mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat kawasan itu,  Azmin Ali.

Katanya, mahkamah merupakan forum paling sesuai untuk mengesahkan dakwaan-dakwaan oleh sepuluh Plaintif yang memfailkan tindakan ini.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen seperti Azmin sebagai proses mematangkan pendemokrasian negara.

Menurut Dr. Mahathir, beliau dimaklumkan seramai 10 orang pengundi berdaftar Parlimen Gombak telah memulakan satu tindakan undang-undang terhadap Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi kerajaan Perikatan Nasional.

“Berdasarkan kandungan Pernyataan Tuntutan yang difailkan, saya dinasihatkan oleh Peguam bahawa tindakan ini diambil kerana Dato’ Seri Azmin didakwa memungkiri sumpah setia selaku ahli Parlimen, mengabaikan amanah pengundi-pengundi kawasan Gombak untuk kepentingan diri dan tidak menghiraukan janji yang dibuatnya semasa kempen pilihan raya ke-14, dan melakukan kesalahan tort penipuan (committed tort of deceit),” katanya.

Dr. Mahathir berkata, Pernyataan Tuntutan mengandungi antara lain Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional memecah belah gabungan Pakatan Harapan, Kerajaan yang sah yang dipilih oleh Rakyat.

Terdapat juga pernyataan bahawa Dr. Mahathir tidak menghadiri pertemuan di Hotel Sheraton pada 23 Februari 2020..

“Juga dinyatakan saya telah meletak jawatan pada 24.02.2020. Ini adalah seperti selalu saya tekankan bahawa perpecahan gabungan PH adalah akibat dari Langkah Sheraton,” katanya,

Terdapat juga pernyataan bahawa Azmin kini bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin dari BN termasuk mereka yang telah dan/atau masih menghadapi tuduhan-tuduhan jenayah.

“Kesemua perkara yang didakwa melalui tindakan yang difailkan ini telah pun saya nyatakan berulang kali. Wakil rakyat atau Ahli Parlimen harus faham bahawa rakyat memilih kita sebagai wakil mereka untuk bersuara di Parlimen dan memimpin mereka bukannya untuk kepentingan diri dan mendapatkan jawatan serta kuasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment