KUARANTIN wajib bagi mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah? Itu keperluan yang sedang diteliti oleh Kementerian Kesihatan berhubung kehadiran penduduk Semenanjung sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menterinya, Dr Adham Baba berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.
“Kita akan buat kajian risiko setiap hari dan akan dibincangkan di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai COVID-19 juga bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya selepas merasmikan Wellness Hub Bagan Pinang, Port Dickson.
Sabah yang sedang dalam suasana kempen PRN menjelang pengundian 26 September turut merekodkan peningkatan kes Covid-19 khususnya melalui Kluster Benteng Lahad Datu.
Semalam, 11 September kes baharu wabak itu melonjak ke tiga angka dengan 182 kes yang melibatkan 181 penularan tempatan dan satu kes import, iaitu tertinggi setakat ini dalam tempoh beberapa bulan selepas mencatatkan 100 kes pada Selasa lepas.
Kes Covid-19 di Sabah yang membabitkan Kluster Benteng LD merekodkan 250 kes dengan 167 kes baharu direkodkan setakat semalam.
Mengenai PRN Sabah, Dr Adham berkata pihaknya akan mengguna pakai garis panduan pencegahan Covid-19 yang digunakan pada dua pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang dan PRK DUN Slim, Perak.
Sementara itu, Dr Adham berkata tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan semula sekatan perjalanan antara negeri-negeri setakat ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran yang dilakukan di beberapa kawasan berjaya membendung penularan lebih besar.
“Kita lihat trend Covid-19 berlaku di beberapa tempat sahaja. Kes tidak menyeluruh seperti peringkat awal, misalnya di Kota Setar dan Amanjaya di Kedah kita buat PKPD pentadbiran, dan kita berjaya bendungnya. Ia juga untuk memastikan kita dapat saring kira-kira 15,000 orang di daerah Kota Setar,” katanya.