SOP operasi restoran

RESTORAN boleh beroperasi dalam suasana normal baharu mulai 4 Mei ini. Ketika ini, hanya boleh bungkus untuk dibawa pulang tetapi Isnin ini boleh makan di restoran dengan beberapa syarat.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, ada beberapa SOP yang perlu dilaksanakan oleh pemilik restoran.

Pertamanya, meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu. Setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja.

Keduanya, buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain. Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.

Ketiganya, sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran. Pelanggan yang dah bayar boleh gunakan hand sanitizer untuk bersihkan tangan. Sediakan juga sabun atau hand wash yang mencukupi di tempat basuh tangan. Beli penyembur pembersih meja yang mencukupi. Setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk.

Keempat, beli face mask. Beri kepada pekerja dan pastikan mereka pakai face mask setiap masa.

Kelima, pada hari pertama restoran dibuka, seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran. Boleh guna alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan pelanggan.

Keenam, catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran. Ini penting kerana jika ada kes positif Covid- 19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelanggan- pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.

Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik.

(Gambar petikan Star & Grafik BH)

Related posts

Leave a Comment