Lebih 500,000 mohon suaka di EU

ROME –  Agensi Kesatuan Eropah bagi Suaka (EUAA) yang berpangkalan di Malta mencatatkan sejumlah 513,000 permohonan baharu diterima sejak Januari hingga akhir Jun lalu.

Menurut lapora media, jumlah pencari suaka di Kesatuan Eropah (EU), Norway dan Switzerland menurun sedikit iaitu sebanyak 6,000 berbanding separuh pertama 2023.

Statistik itu merangkumi angka dari semua negara EU serta Norway dan Switzerland, yang bukan sebahagian daripada kesatuan itu.

Permohonan paling banyak dalam kalangan 29 negara itu didaftarkan di Jerman iaitu 124,000, atau hampir satu perempat daripada jumlah keseluruhan.

Di seluruh rantau ini, agensi itu menjangkakan lebih daripada satu juta permohonan menjelang akhir tahun ini.

Kira-kira 71,000 pencari suaka berasal dari Syria yang dilanda peperangan, meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya diikuti 45,000 warga Afghanistan, turun 18 peratus dan Venezuela, 37,000 memohon suaka, hampir semuanya di Sepanyol.

Kira-kira 4.5 juta orang dari Ukraine yang telah mencari perlindungan di EU dan menerima perlindungan sementara sejak pencerobohan Rusia pada Februari 2022, tidak termasuk dalam perangkaan ini.

Dalam perbandingan seluruh EU, Sepanyol menduduki tempat kedua dari segi angka mutlak pada separuh pertama tahun ini dengan 88,000 permohonan, hampir sama dengan tahun lepas. Itali pula di tempat ketiga dengan 85,000 permohonan, meningkat kira-kira satu pertiga.

Dari segi per kapita, negara kecil Cyprus mencatatkan permohonan paling banyak dengan 4,900.

Related posts

Leave a Comment