SEPANG 4 Julai – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar mengumumkan menyertai Bersatu selepas dipecat UMNO tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Noh yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, beliau memohon untuk menyertai Bersatu secara dalam talian semalam dengan mengisi borang dan terus diterima.
“Tiada siapa yang tahu. Kemudian saya terus dapat sijil menjadi ahli Bersatu,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan, hari ini.
Beliau berkata, keputusan drastik itu dibuat selepas kecewa dan sedih dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang gagal mencabar Titah Adendum di mahkamah.
Mahkamah Tinggi semalam, menolak permohonan bekas presiden UMNO itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan, dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.
Noh berkata, keputusan untuk menyertai Bersatu agak berat dan lebih setengah tahun baru berbuat demikian kerana mengingati pesanan Najib yang ditemuinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebelum ini.
“Saya masih ingat pesanan beliau kepada saya. ‘Noh, you kena sabar, jangan masuk mana-mana parti. Bertenang dan bersabar…Insya-Allah perjuangan kita akan berjaya’.
“Saya menghormati dan mematuhi pandangan serta arahan daripada beliau. Sebab itu saya tidak memasuki mana-mana parti politik sebelum ini,” katanya.
Noh pernah menganggotai Kabinet di zaman pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, Najib dan Ismail Sabri Yaakob.
Antara portfolio dipegangnya adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Menteri Pertanian dan Industri Asa Tani .
Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal itu digugurkan daripada kerusi itu pada PRU15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas kepada Perikatan Nasional (PN).
Beliau antara individu disebut-sebut bakal dipertaruhkan PN jika berlaku PRK di kerusi terbabit susulan permohonan Bersatu mengosongkannya selepas penyandangnya Dr Zulkafperi Hanapi terlucut keahlian Bersatu kerana gagal mematuhi arahan parti dengan terus menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim
Nnn
