HULU SELANGOR 27 April – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan tiga calon mewakili parti politik dan seorang calon Bebas.
Selepas penamaan calon ditutup pukul 10 pagi, Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Bharu Yuhanas Auree Kamaruddin mengumumkan tiga calon mewakili parti iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
PH meletakkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.
Sementara itu, PRM diwakili Hafizah Zainuddin, manakala Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.
Yuhanas berkata, pihaknya menyemak kertas permohonan dan berpuas hati serta memutuskan tiada kertas permohonan ditolak.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan seorang calon Bebas, Chng Boon Lai menghantar borang, tetapi menarik semula permohonan berkenaan pada saat akhir.
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Nnn
