NILAI 2 April – Sebanyak 22 jenis barang diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri 2024 berkuat kuasa 5 hingga 19 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali, berkata skim berkenaan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
Barangan di bawah skim itu adalah daging lembu tempatan kecuali daging batang pinang, daging lembu import, daging kerbau import, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol dan ikan demuduk.
Tomato , cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India, ubi kentang import, cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut.
Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2024 itu meliputi lima hari sebelum perayaan, satu hari ketika perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.
Katanya, pelaksanaan skim ini mewujudkan suasana menang-menang di mana pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
Bercakap pada sidang media di sebuah pasar raya di sini, hari ini, Armizan berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan harga barangan terkawal serta bekalan mencukupi.
Katanya, semakan harga boleh dibuat melalui laman web KPDN di https://www.kpdn.gov.my.
“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik seperti di pasar malam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011). Ia termasuk tindakan bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan terkawal,” katanya.
Beliau berkata, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai harga ayam walaupun tidak tersenarai dalam skim berkenaan, Armizan percaya harga ditawarkan oleh peniaga bersempena dengan musim perayaan ini adalah stabil.
“Hasil pemantauan kita, harga ayam di pasaran dan jaminan daripada (KPKM), bekalan ayam mencukupi … jadi kita lihat harga ayam di pasaran adalah stabil.
“Sekiranya mendapati berlakunya kenaikan harga ayam yang tidak wajar, aduan boleh dilakukan melalui portal KPDN dengan menyatakan maklumat tepat supaya tindakan segera dapat dilakukan mengikut AKHAP 2011,“ katanya.
