Datang 4 jam awal sebelum berlepas

PUTRAJAYA 23 Dis. –  Datang awal, sekurang-kurangnya empat jam sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi penerbangan domestik dan antarabangsa pada musim puncak perjalanan dan tempoh perayaan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang mengeluarkan nasihat perjalanan itu berkata, langkah itu adalah disebabkan berlaku peningkatan mendadak jumlah penumpang semasa musim cuti.

“Tiba awal di lapangan terbang akan membolehkan penumpang melepasi proses pendaftaran, pemeriksaan keselamatan dan pelepasan dengan kelewatan minimum,” kata MAHB dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA menjangkakan purata pergerakan penumpang masing-masing seramai 79,200 dan 66,400 orang hingga akhir tahun.

Menurut MAHB, ketika ini KLIA Terminal 1 sedang dalam proses menaik taraf sistem pengendalian bagasi, iaitu sebahagian daripada program penggantian bagi meningkatkan kecekapan operasinya.

“Naik taraf ini inisiatif penting untuk mengekalkan dan menambah baik keseluruhan infrastruktur lapangan terbang dan kerja-kerja berterusan ini mungkin menyebabkan masa lebih lama diperlukan untuk urusan pemprosesan di pelbagai tempat di lapangan terbang,” menurut kenyataan itu.

Menurut MAHB, penumpang digalakkan untuk bekerjasama dengan petugas lapangan terbang dan syarikat penerbangan sepanjang tempoh berkenaan, selain memberi lebih masa untuk menampung kelewatan yang tidak dijangka.

MAHB amat menghargai timbang rasa dan kesabaran semua penumpang kerana kerja-kerja naik taraf yang dilaksanakan ini bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan cekap pada jangka panjang.

Related posts

Leave a Comment