SEPANG 22 Dis. – Lima pengeluar makanan haiwan ternakan dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.
Suruhanjaya Persaingan (MyCC) dalam kenyataan berkata, syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dinding); FFM Berhad (FFM); Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin); Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup); PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).
Dinding dikenakan penalti bernilai RM70.02 juta, FFM (RM42.69 juta); Gold Coin (RM97.51 juta); Leong Hup (RM157.47 juta) dan PK Agro (RM47.8 juta).
Lima syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan itu dianggarkan menguasai sehingga 70 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini.
Mereka didapati melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak dilarang antara perusahaan dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.
Siasatan MyCC meliputi tempoh antara Januari 2020 dan Mac 2022 yang mendedahkan potensi gangguan dalam pasaran makanan ayam serta satu siri pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi di kalangan perusahaan-perusahaan berkenaan.
Kelima-lima perusahaan itu didapati bersalah kerana berpakat menaikkan harga makanan ternakan ayam menerusi beberapa platform, termasuk hubung kait rekod komunikasi bersama pengurusan tertinggi, nota mesyuarat dan keterangan saksi, di antara Januari 2020 hingga Jun 2022.
Penyiasatan ini mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa di antara perusahaan-perusahaan tersebut di antara Januari 2020 hingga Jun 2022.
“Siasatan juga mendapati bahawa perusahaan-perusahaan ini menggunakan strategi dengan menyatakan bahawa kenaikan kos makanan ayam adalah disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan bahan mentah,” kata MyCC.
Di samping itu siasatan turut merangkumi pemeriksaan menyeluruh saluran komunikasi yang digunakan oleh wakil-wakil perusahaan tersebut termasuk WhatsApp dan log panggilan yang menunjukkan hubung kait yang ketara dengan tarikh-tarikh pengumuman harga.
“MyCC mendapati bahawa wakil-wakil perusahaan ini menghadiri mesyuarat anjuran Persatuan Pengisar Makanan Malaysia (MFA). MyCC menemui nota peribadi wakil salah satu perusahaan yang mencadangkan terdapat perjanjian dan/atau amalan bersama berkaitan kenaikan kuantum harga makanan ayam,” kata MyCC.
Dalam pada itu MyCC menarik perhatian kes kartel yang melibatkan hukuman penalti yang tinggi di beberapa negara.
Pada tahun 2018 di Amerika Syarikat (AS), Tyson Foods menyelesaikan kes yang melibatkan konspirasi untuk menetapkan harga ayam pedaging, bersetuju membayar $90 juta (bersamaan RM418.59 juta) kepada Jabatan Kehakiman
Di Singapura , pada tahun 2020, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura mendapati 13 pembekal ayam segar bersalah kerana kartel perkongsian pasaran dan penetapan harga dan dikenakan penalti sebanyak S$27 juta (bersamaan RM94.42 juta).
Pada tahun 2022 di AS, satu kes kartel daging lembu yang melibatkan Tyson Foods, National Beef Packing Company dan Cargill yang berakhir dengan penyelesaian sebanyak $52.5 juta (bersamaan dengan RM244 juta).
Di Korea Selatan pula, terdapat satu kes pada tahun 2022 di mana 15 syarikat pemprosesan ayam terlibat di dalam kartel penetapan harga ayam pedaging selama 12 tahun. Penalti yang dikenakan adalah sebanyak €129.7 juta (bersamaan RM660 juta), serta pendakwaan jenayah terhadap lima syarikat yang terbabit.
Di Brazil, kes kartel daging pada tahun 2017 yang menjejaskan EU, China dan Hong Kong telah membawa kepada penalti R$10.3 bilion (bersamaan dengan RM9.745 bilion).
Nnnnn
