KEPALA BATAS 20 Sept. – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan beras tempatan kembali stabil sebulan lagi, kata Menterinya, Mohamad Sabu.
Berikutan itu, katanya, ketika masalah kekurangan yang berlaku sedang diatasi rakyat diminta tidak membuat pembelian panik kerana khuatir bekalan beras tempatan tiada di pasaran.
“Harga beras tempatan dalam kawalan (pihak kerajaan) dan setakat ini pihak pemborong dan pengilang memberi kerjasama untuk mencukupkan bekalan dalam pasaran.
Seperti saya sebut dalam Parlimen, kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) padinya sedang dituai dengan mencapai 20 peratus dan selepas ini ia akan dikilangkan yang seterusnya membolehkan bekalan beras kita ini akan kembali stabil dalam sebulan lagi.
“Tetapi sementara nak sampai sebulan itu, kita akan buat intervensi untuk tampung kekurangan (beras tempatan) melalui FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan termasuk Jualan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, di sini, hari ini.
Melalui program itu, 22 gerai jualan barang keperluan termasuk penjualan 2,000 kampit beras tempatan 10 kilogram (kg) berharga RM26 sekampit dibuka dalam membolehkan rakyat mendapatkan barangan pada kadar harga jauh lebih murah berbanding pasaran.
Beliau berkata, pihaknya memahami rakyat memilih untuk mendapatkan beras tempatan memandangkan kenaikan mendadak beras import yang dialami seluruh dunia.
Mohamad juga berkata, pihaknya juga mengambil langkah agresif bagi menangani isu penyelewengan beras tempatan dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, serbuan akan dibuat jika ada termasuk aduan seperti tukar kampit beras di mana beras tempatan dijual dengan beras import.
