Empangan musnah cetus krisis kemanusiaan

GENEVA: Bencana alam sekitar boleh tercetus akibat pemusnahan empangan Kakhovka di Ukraine yang akan turut mengakibatkan krisis kemanusiaan yang teruk terhadap ratusan ribu orang.

Serangan ke atas empangan utama yang dikuasai Russia di selatan Ukraine mengakibatkan sebuah bandar kecil dibanjiri arus deras sehingga menenggelamkan 24 kampung serta kira-kira 17,000 orang dipindahkan.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) bimbang mengenai kemusnahan Empangan Kakhovka dan kesan kemanusiaan yang teruk ke atas ratusan ribu orang di kedua-dua belah barisan hadapan.

Perkara itu merujuk kepada laporan daripada pihak berkuasa Ukraine menyatakan hampir semua atau sebahagian 40 bandar dan kampung ditenggelami air sepenuhnya, sambil agensi terbabit menekankan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal mereka dalam sekelip mata.

Ribuan lagi pula kehilangan akses terhadap air, makanan dan perkhidmatan asas.

Meskipun ketika ini penilaian skop dan kesan kemusnahan empangan dan kepupusan takungan Kakhovka sedang dilakukan, namun OCHA memberi amaran ia diunjurkan akan mempunyai akibat yang teruk dan mengakibatkan situasi kemanusiaan jangka panjang di kawasan itu.

Antara lain, ia dikhuatiri mengakibatkan banjir dan arus bergerak pantas hingga menyebabkan lombong dan bahan letupan dialirkan ke kawasan baharu yang sebelum ini dinilai selamat, sekali gus meletakkan lebih ramai orang dalam bahaya.

Menurut OCHA, usaha tindak balas kemanusiaan kecemasan sedang dijalankan bagi memberikan bantuan segera kepada lebih 16,000 orang, termasuk menyalurkan bekalan air.

Sementara itu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi PBB (IOM) mengatakan kerosakan teruk pada infrastruktur penting yang dibimbangi mengakibatkan ‘bencana alam sekitar yang akan datang’.

Agensi itu berkata, penilaian awalnya terhadap situasi berkenaan menunjukkan air minuman dan makanan adalah keperluan segera yang diutamakan sambil menyatakan pihaknya akan segera mendapatkan bekalan air bersih ke kawasan yang menerima mangsa yang dipindahkan.

Related posts

Leave a Comment