KUALA LUMPUR 16 Nov . – Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendesak Timbalan Menteri Kerja Raya, Dr Ahmad Maslan meletak jawatan jika tidak lagi bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.
Desakan itu dibuat pada sidang media anggota Parlimen berkenaan susulan pantun sinis Ahmad berkaitan penghapusan tol yang menimbulkan kekecohan ketika perbahasan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat petang ini.
Kekecohan berlaku selepas Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangun mencelah bertanya sama ada janji yang didakwa belum ditunaikan itu dibuat sekadar untuk memenangi pilihan raya.
Sebelum itu, Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta penjelasan sama ada kerajaan boleh melaksanakan pengurangan kadar tol secara berperingkat dengan mengambil contoh pengurangan tol lebuh raya sebanyak 30 peratus selepas 2018. –
Ahmad ketika menggulung perbahasan mengundang reaksi apabila menyampaikan pantun yang menyentuh sokongan politik kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, terdapat beberapa janji politik yang masih belum ditunaikan, termasuk berkaitan perkara itu.
Beliau kemudian mengaitkan perkara itu dengan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang sebelum ini membuat pengiraan berkaitan kos penghapusan tol.
“Saya dengar masa itu terutama Tony Pua membuat perkiraan, berdiri di tol MEX dan sebagainya. Penghapusan tol memang ada janji tetapi bukan kami (yang) janji.
“Ada banyak janji tak tertunai. Saya ada pantun mengenai itu: ‘Jika tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan, kalau tuan tak nak kena ‘kencing’, sokong Barisan dan Perikatan,” katanya yang mengundang bantahan.RSN Rayer (PH-Jelutong) serta, menyifatkannya sebagai sindiran terhadap Pakatan Harapan.
Selepas dinasihatkan Timbalan Speaker, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor, Ahmad kemudian menarik balik penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan, namun menafikan menyebut perkataan Pakatan Harapan ketika menyampaikan sindiran itu.
Di luar Dewan Rakyat, antara yang membuat desakan terhadap Ahmad adalah Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson); Aminolhuda Hassan (Sri Gading); Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat).
Aminuddin berkata, tindakan Ahmad yang menggunakan sesi penggulungan untuk menyampaikan ucapan berunsur politik dan provokasi, bukannya menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen, amat dikesali.
Katanya, hampir 29 Ahli Parlimen mengemukakan pertanyaan sebelum sesi penggulungan itu, namun jawapan diberikan tidak menjawab persoalan dengan baik.
Beliau berkata, Ahmad sepatutnya mewakili kerajaan yang ada, tetapi jawapan yang sepatutnya dijawab tidak dijawab dengan baik, tetapi menggunakan platform ini untuk membuat ucapan berunsur politik dan provokasi yang keterlaluan.
“Perkara ini amat mendukacitakan, sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan ia tak seharusnya berlaku sebagai seorang Timbalan Menteri yang mewakili menteri.
“Jika beliau rasa kerajaan yang ada pada hari ini tidak dipersetujui, maka beliau tinggalkanlah kerajaan ini. Ini penting untuk memastikan kerajaan yang ada dapat berjalan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sany pula mencabar Ahmad supaya meletakkan jawatan dengan segera sekiranya tidak lagi bersetuju dengan Kerajaan Madani dan Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendakwa tindakan Ahmad itu turut mengandungi sindiran terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Saya nak cabar Ahmad Maslan ni. Kalau dah tak kena selera dengan Kerajaan Madani, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini, saya cabar beliau letak jawatan.
“Jangan rasa bongkak, takabur, sombong dan ego dengan kemenangan yang kamu peroleh di Melaka.
“Saya cabar kalau beliau betul-betul anak jantan, kita minta beliau segera letak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya,” katanya.
Khoo pula berkata, sebagai anggota kerajaan, Ahmad perlu mengamalkan prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility) dan mempertahankan kerajaan, bukannya menyindir kepemimpinan sedia ada ketika menjalankan tugas rasmi.
“Kerajaan hari ini adalah Kerajaan Perpaduan. Sepatutnya ada tanggungjawab bersama, kalau Timbalan Menteri dalam penggulungan beliau mengeluarkan kata-kata sedemikian, menyindir kerajaan yang sedia ada ini, dia sepatutnya letak jawatan.
“Tindakan beliau itu sudah tidak profesional, tidak layak lagi sebagai Timbalan Menteri. Sebagai ‘front bench’ dia sepatutnya mempertahankan kerajaan yang sedia ada.
“Bukannya dalam penggulungan sindir kerajaan yang sedia ada. Jadi dia tidak layak menjawat jawatan berkenaan, dia sepatutnya letak jawatan kalau dia tidak ingin menarik balik kenyataan beliau tadi,” katanya.
N
