UMNO minta AGC beri penjelasan segera

KUALA LUMPUR 6 Nov.  – UMNO menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan dengan segera asas undang-undang bagi penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Ketua Penerangannya, Azalina Othman Said, berkata UMNO mengambil maklum kenyataan media Tetuan Shafee & Co. hari ini yang membangkitkan persoalan mengenai pendirian terkini AGC berhubung pelaksanaan perintah itu.

Katanya, UMNO memandang serius persoalan ketidakselarasan pendirian AGC berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib, khususnya selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berkaitan tahanan di rumah.

“Bayaran denda RM50 juta sudah direkodkan, Mahkamah Tinggi turut mengeluarkan perintah dan kediaman Datuk Seri Najib diwartakan sebagai penjara mengikut Akta Penjara 1995.

Selepas perintah mahkamah dikeluarkan, Jabatan Peguam Negara menyatakan pelaksanaan tahanan di rumah wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan kepastian undang-undang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, UMNO menghormati kedudukan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan.

Beliau berkata, Peguam Negara mempunyai peranan dalam proses Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, penjelasan sewajarnya perlu diberikan mengenai bila persoalan tafsiran berkenaan dikenal pasti dan bagaimana ia ditangani, tertakluk kepada kehendak undang-undang serta kerahsiaan yang terpakai.

Beliau juga menegaskan UMNO menjunjung kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, titah pengampunan bersyarat dan perintah Mahkamah Tinggi hendaklah dihormati serta diberi kesan menurut undang-undang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment