Netanyahu gagal dapat majoriti mudah

TEL AVIV – Keputusan awal Pilihan Raya Knesset ke-26 Israel, menunjukkan landskap politik Israel kekal berpecah, dengan tiada blok politik berupaya membentuk kerajaan secara bersendirian.

Setakat ini, blok parti pimpinan Benjamin Netanyahu mendahului namun masih gagal memperoleh majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.

Blok pro-Netanyahu dijangka meraih sekitar 53 kerusi daripada keseluruhan 120 kerusi Knesset, iaitu lapan kerusi kurang daripada ambang 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan. 

Parti Likud muncul sebagai parti tunggal terbesar dengan unjuran 26 hingga 27 kerusi manakala, blok pembangkang yang diterajui bekas ketua tentera Israel, Gadi Eisenkot, diunjurkan memperoleh sekitar 47 hingga 48 kerusi, sementara parti-parti Arab mencatat peningkatan dengan menguasai sekitar 19 hingga 20 kerusi.

Walaupun kedudukan Likud sebagai parti terbesar memberi kelebihan kepada Netanyahu dalam rundingan pembentukan kerajaan, kegagalan memperoleh majoriti dilihat sebagai tamparan kepada pemimpin veteran itu yang sebelum ini menjadikan isu keselamatan dan perang di Gaza sebagai teras kempen pilihan rayanya.

Pilihan raya kali ini turut dianggap sebagai referendum tidak rasmi terhadap kepemimpinan Netanyahu ketika Israel berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung operasi ketenteraan di Gaza, selain desakan berterusan daripada keluarga tebusan yang mahu kerajaan mempercepatkan usaha mencapai penyelesaian konflik.

Jika Netanyahu berjaya membentuk kerajaan bersama sekutu nasionalis dan agama yang selama ini menyokong pendekatan ketenteraan tegas terhadap Hamas, operasi Israel di Gaza dijangka diteruskan tanpa perubahan besar.

Jika gagal, antara senario yang kini diperkatakan termasuk pembentukan kerajaan perpaduan, kerajaan minoriti yang bergantung kepada sokongan luar atau kemungkinan Israel sekali lagi terpaksa menghadapi pilihan raya baharu sekiranya rundingan gagal menghasilkan kerajaan yang mampu bertahan.

Related posts

Leave a Comment