Ustaz Wadi Annuar cedera

GERIK 23 Okt. – Penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar cedera sejurus Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Toyota Vellfire dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik, pada pukul 2.40 pagi ini.

Nahas turut membabitkan dua kereta model Perodua Myvi dan kereta Perodua Bezza, menyebabkan lima mangsa cedera manakala lima yang lain terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

Anggota bomba tiba di lokasi terletak 59 kilometer dari balai bomba pada jam 3.42 pagi dan mendapati kereta Perodua Myvi terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.

Manakala seorang lelaki berusia 25 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kereta itu sementara pemandunya berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah.

Sabarodzi Nor berkata, seorang lagi penumpang lelaki berusia 24 tahun yang duduk di bahagian belakang kereta Myvi hanya mengalami cedera ringan.

“Sementara itu terdapat empat penumpang di dalam MPV Toyota Vellfire. Dua daripadanya cedera dan dua lagi terselamat. Kesemua mereka dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Tiga mangsa di dalam kereta Perodua Myvi dan dua penumpang MPV yang cedera dibawa ke Hospital Gerik menaiki ambulans dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, tiga individu yang menaiki kereta Perodua Bezza dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat membabitkan 10 anggota dan tiga jentera itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.39 pagi.

Foto fb Bomba Perak

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment