PUTRAJAYA 30 Sept. – Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat di 33 kawasan setakat pagi ini.
Menurut APIMS 33 kawasan itu adalah di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Terengganu, Perak dan Sarawak.
Kawasan paling terjejas direkodkan di Johan Setia, Selangor dengan bacaan 176, diikuti Cheras (173); Nilai (171) dan Shah Alam (170).
Turut merekodkan bacaan melebihi 160 ialah Pasir Gudang (169); Batu Muda (166); Putrajaya (165); Larkin (165); Seremban (164); Klang (163) serta Indera Mahkota dan Balok Baru di Kuantan, Pahang masing-masing mencatat bacaan 163.
Di Selangor, Petaling Jaya merekodkan bacaan 161 dan Banting (160); manakala Kuala Selangor mencatat 154.
Johor antara negeri paling terjejas apabila beberapa stesen merekodkan bacaan tidak sihat, termasuk Kota Tinggi (160); Pengerang (155); Batu Pahat (154); Tangkak (152) dan Kluang (131), selain Pasir Gudang dan Larkin.
Bandaraya Melaka merekodkan bacaan 160, diikuti Bukit Rambai (156) dan Alor Gajah (136).
Sementara itu, Kuala Terengganu merekodkan bacaan 157, manakala Kemaman dan Paka masing-masing 154 dan 152 sementara di Pahang, Rompin mencatat bacaan 152 dan Jerantut (132), selain Indera Mahkota dan Balok Baru di Kuantan.
Seri Manjung, Perak pula merekodkan bacaan 154 dan Tanjung Malim (146), manakala IPD Serian, Sarawak mencatat 140.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada golongan sensitif, termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung.
