Julai catat 45,900 pemilih baharu

PUTRAJAYA 26 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 45,900 pemilih baharu iaitu warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2026 yang didaftarkan secara automatik.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  Khairul Shahril Idrus berkata, mereka boleh membuat semakan melalui Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai Tahun 2026 (DPT BLN7/2026) bermula hari ini hingga 24 September.

Beliau berkata DPT BLN7/2026 yang diperaku dan diwartakan hari ini juga mengandungi 50,547 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,006 pemilih yang bertukar kategori pengundi atau status.

“SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2026 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN7/2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan juga  boleh dibuat melalui portal SPR menerusi pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi pejabat pilihan raya negeri http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih 03-8892 7218.

Khairul Shahril berkata sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN7/2026, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian menerusi pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pilihan Raya Negeri menerusi http://ppn.spr.gov.my dan dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk serahan dan pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat pada hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN7/2026.

Untuk rekod pemilih baharu yang direkodkan sepanjang Mei adalah 40,139; April 39,111;  40,958 (Mac), 36,141 (Februari) dan 38,705 orang pada Januari.

Related posts

Leave a Comment