ALOR SETAR 26 Ogos – Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, tidak menolak kemungkinan Kedah berdepan tuntutan ganti rugi bernilai ratusan juta ringgit daripada pengusaha premis perjudian.
Katanya , tindakan itu susulan dasar negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi sejak 2023 dan kerajaan negeri bersedia mempertahankan dasar itu di mahkamah sekiranya tuntutan dikemukakan pengusaha.
“Dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri selepas mahkamah mendapati kita tak ada kuasa itu (mengharamkan judi), kita kena tanggung ganti rugi ini. Ganti rugi itu mungkin banyak sehingga beratus juta.
“Kita bukan tahu syarikat judi untung berapa, kalau tidak depa (mereka) tak pulun (usaha) sampai tahap ini. Tapi kita lawan dulu (di mahkamah) sebab sekupang (10 sen) pun duit kita nak bagi kat syarikat judi, kita lawan sampai dinding,” katanya berucap pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah, di sini malam tadi.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan terhadap keputusan yang memutuskan tindakan menghentikan pengeluaran serta pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian adalah tidak sah.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.
Muhammad Sanusi berkata, jumlah kerugian yang didakwa pengusaha perlu dibuktikan termasuk melalui rekod pendapatan yang diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Adakah selama beroperasi di Kedah, mereka isytihar pendapatan sebenar kepada LHDN atau tidak. Kalau tak isytihar dan ada tuntutan mudah nak patahkan. Kalau isytihar, sebanyak mana depa (mereka) isytihar kena bicara di mahkamah, kita perang lagi untuk depa dapat ganti rugi selama kita tidak bagi lesen premis,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjemput Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyampaikan ceramah kepada umat Islam di negeri ini agar tidak berjudi.
Beliau berkata, sebelum ini Ramkarpal meminta kerajaan negeri Kedah akur kepada keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai dasar tidak memperbaharui lesen perniagaan perjudian.
Muhammad Sanusi bagaimanapun menegaskan, usaha kerajaan negeri menghalang kegiatan perjudian di Kedah tidak akan terhenti setakat ini dengan ia akan diteruskan mengikut lunas undang-undang lain.
“Dalam hal yang kita bincangkan malam ini (isu perjudian di Kedah), tidaklah boleh diletakkan noktah kerana Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran untuk kita merayu.
“Ada orang bagi peringatan kepada kita dari DAP agar jangan cari jalan (halang perjudian), dia kata akur sahaja kepada keputusan dan dia kata fokus kepada orang Islam yang berjudi.
Salah satu yang Ramkarpal kata dakwah kepada orang Islam jangan main judi. Saya kata betul juga, lepas ini kita panggil dia bagi ceramah, DAP bagi ceramah kepada orang Islam jangan main judi,” katanya secara berseloroh.
Muhammd Sanusi juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan ketika ini, mempunyai kuasa memutuskan sama ada membenarkan aktiviti perjudian di Kedah atau menghalangnya.
“Sekarang bola sudah tertendang kepada MOF (Kementerian Kewangan), mereka yang akan tentukan tendang jaring gol atau (masuk) gol sendiri,” katanya.
