Thailand buru 5 suspek serangan Narathiwat

NARATHIWAT – Lima individu termasuk dua pemimpin kumpulan pemisah sedang dijejaki pihak berkuasa Thailand selepas mereka dipercayai terlibat dalam satu serangan hendap di pusat pemeriksaan di jalan perbandaran Bukit Sami, di sub-daerah Tanjong Mas, daerah Ra-ngae, wilayah Narathiwat, pada 22 Julai lalu.

Timbalan Jurucakap Markas Hadapan Wilayah 4 bagi Pemerintahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), berkata, mereka dipercayai sedang bersembunyi di negara jiran dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap semua suspek pada 24 Julai lalu.

Dua pemimpin yang dikehendaki itu dikenal pasti sebagai Nise Niha/Nija (pemimpin operasi yang dikaitkan dengan insiden Tak Bai tahun 2004) dan Muhammad Baihadee Waheng (pemimpin operasi bagi serangan pada bulan Julai lalu).

Turut dijejaki,  Azmin Salame (terlibat dalam pengeboman stesen kereta api, rompakan kedai emas dan serangan terhadap konvoi tentera), Abdul Rahum Mayi (anggota kumpulan pemisah yang bertanggungjawab menyelaraskan serangan) dan Azizan Madahae (anggota kumpulan pemisah yang mengeluarkan arahan untuk melancarkan serangan).

Pemeriksaan bukti forensik mendedahkan penggunaan sejumlah 15 laras senjata api dalam serangan-serangan tersebut di mana kesemua 15 senjata itu mempunyai sejarah penglibatan dalam pelbagai insiden keganasan di pelbagai kawasan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 36 insiden lampau. 

Related posts

Leave a Comment