SEPANG 16 Julai – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan penarikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu daripada kerajaan negeri, hari ini selepas memuktamadkan pendirian menolak cadangan pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan ADUN lantikan.
Dalam kenyataan bersama ADUN itu, PH memaklumkan tindakan itu selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi.
“Mesyuarat mengesahkan keputusan penarikan diri kelima-lima ADUN PH Melaka daripada kerajaan negeri selepas memuktamadkan pendirian menolak pindaan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi tujuan mewujudkan jawatan ADUN lantikan.
EXCO atau ADUN daripada kerajaan negeri yang tidak lagi menyokong sesuatu usul kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak wajar terus menikmati keistimewaan serta kemudahan sebagai sebahagian daripada pentadbiran negeri,” menurut kenyataan bersama itu.
Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum ini meluluskan usul Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan penambahan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri itu.
Usul yang dibentangkan Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh itu disokong 23 ADUN termasuk tiga wakil pembangkang, manakala lima wakil Pakatan Harapan (PH) merangkumi empat ADUN DAP dan satu Amanah tidak menyokong.
Menurut kenyataan itu juga, PH Melaka turut memutuskan semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daripada gabungan itu akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai ini bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
“PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, kerajaan negeri dan penjawat awam atas kepercayaan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan ini.
“Bagaimanapun kelima-lima ADUN PH akan terus menumpukan perhatian dan melipat gandakan usaha serta khidmat buat rakyat negeri Melaka tanpa sebarang diskriminasi politik sehingga tamat mandat yang diberikan,” menurut kenyataan itu.
