Kualiti udara di Toronto merosot teruk

TORONTO – Kualiti udara di Toronto merosot ke paras paling buruk dalam kalangan bandar utama dunia pada Rabu susulan asap daripada kebakaran hutan yang sedang marak di barat laut Ontario

Ia turut merebak ke timur laut Amerika Syarikat (AS) sehingga mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan.

Walaupun kebakaran berlaku di kawasan yang jarang penduduk dan terletak ratusan kilometer dari Toronto, asap tebal yang terhasil telah menyelubungi kawasan yang luas, termasuk bandar terbesar Kanada itu dan beberapa bandar di AS.

Environment Canada melaporkan Indeks Kesihatan Kualiti Udara (AQHI) Toronto berada pada bacaan 10+, diklasifikasikan sebagai “risiko sangat tinggi”, dengan keadaan berbahaya dijangka berterusan sehingga Khamis malam.

Syarikat teknologi pemantauan kualiti udara berpangkalan di Switzerland, IQAir, meletakkan Toronto sebagai bandar dengan kualiti udara paling buruk di dunia mengatasi Kinshasa dan New Delhi manakala New York di kedudukan kelima.

Di AS, penduduk New York mula merasai kesan jerebu rentas sempadan itu dan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran apabila kualiti udara mencapai tahap tidak sihat dan menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti lasak di luar rumah serta mengambil langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, kebakaran hutan turut menyebabkan dua kumpulan kecil kanak-kanak dari Minnesota yang menyertai program perkhemahan YMCA di kawasan pedalaman Kanada terperangkap.

Salah satu kumpulan berjaya dipindahkan menggunakan helikopter dengan bantuan tentera Kanada.

Kerajaan Kanada sebelum ini memaklumkan musim kebakaran hutan tahun 2026 bermula lebih perlahan berbanding tahun 2023 dan 2025, namun suhu yang lebih panas daripada kebiasaan meningkatkan risiko kebakaran lebih besar.

Menurut data rasmi kerajaan, sebanyak 835 kebakaran hutan aktif direkodkan di seluruh negara pada Rabu, dengan 112 daripadanya masih tidak terkawal menyebabkan kira-kira 1.9 juta hektar kawasan telah musnah, kebanyakannya di wilayah Manitoba, Saskatchewan dan Ontario.

Related posts

Leave a Comment