MELAKA 14 Julai – DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya.
Katanya, semua wakil rakyat DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri akan melepaskan jawatan masing-masing termasuk seorang Exco, dua Timbalan Exco serta Timbalan Speaker DUN.
“Kita telah menolak usul tersebut dan sebagai parti yang bertanggungjawab, kita tidak boleh pada masa yang sama menolak usul kerajaan tetapi masih berada dalam kerajaan serta menggunakan segala kemudahan kerajaan,” katanya pada sidang media.
Empat ADUN terlibat adalah Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin (Kesidang) dan Timbalan Speaker DUN Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).
Selain itu dua timbalan exco iaitu Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, DAP berpandangan ADUN sepatutnya dipilih melalui pilihan raya dan bukannya dilantik kerana individu yang dilantik mempunyai hak mengundi dalam DUN.
Katanya, sekiranya kerajaan memerlukan khidmat golongan profesional atau pakar, mereka boleh dilantik sebagai penasihat tanpa perlu diberikan kedudukan sebagai ADUN Lantikan yang bercanggah dengan prinsip demokrasi kerana wakil rakyat sepatutnya dipilih oleh rakyat, bukan dilantik.
Beliau berkata, peletakan jawatan itu hanya membabitkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak melibatkan kedudukan mereka sebagai ADUN.
“Empat ADUN DAP masih kekal sebagai wakil rakyat. Mereka juga akan berpindah daripada blok kerajaan ke blok pembangkang pada persidangan DUN yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, semua lantikan politik DAP dalam kerajaan negeri termasuk ahli majlis turut akan melepaskan jawatan masing-masing dalam masa terdekat.
Menurutnya, surat peletakan jawatan telah disediakan dan akan diserahkan kepada pihak berkenaan pada hari sama.
Beliau pada masa sama turut menafikan keputusan itu dipengaruhi prestasi buruk Pakatan Harapan (PH) pada PRU DN Johor yang menyaksikan gabungan berkenaan hanya memenangi lapan daripada 56 kerusi ditandingi.
“Sekiranya rang undang-undang ini dibentangkan pada Mac, kami akan keluar pada Mac. Jika ia dibentangkan pada Oktober, kami akan keluar pada Oktober. Keputusan ini langsung tiada kaitan dengan PRN Johor,” katanya.
NNNN
