WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) sejak Mei lalu membantu memastikan laluan selamat lebih 800 kapal dagang serta penghantaran 380 juta tong minyak mentah melalui Selat Hormuz.
Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM) menerusi hantaran di platform media sosial X milik AS, walaupun keadaan tidak menentu, pergerakan kapal melalui laluan perairan berkenaan terus berlangsung.
Perkembangan itu berlaku ketika gencatan senjata yang rapuh antara AS dan Iran berdepan tekanan baharu.
Iran dan AS saling melancarkan serangan sejak dua hari lepas susulan peningkatan ketegangan.
Iran pada Khamis melancarkan beberapa serangan ke atas infrastruktur ketenteraan AS di Bahrain, Kuwait, Qatar dan Jordan sebagai tindakan balas terhadap serangan AS untuk hari kedua berturut-turut.
Sementara itu, Perancis melihat Syria sebagai laluan alternatif yang berpotensi bagi penghantaran minyak di tengah-tengah gangguan yang sedang berlaku di Selat Hormuz.
Menteri Luar Jean-Noel Barrot berkata ketegangan yang tercetus baru-baru ini antara Amerika Syarikat dan Iran, serta sekatan di selat berkenaan, telah menekankan keperluan untuk mempelbagaikan koridor tenaga bagi memastikan bekalan yang boleh dipercayai ke pasaran global.
Katanya, antara semua usaha yang dilakukan sejak permulaan krisis ini, terdapat idea untuk menyediakan laluan alternatif supaya tidak bergantung kepada sekatan di mana-mana kawasan.
“Syria – yang telah menggulingkan Bashar al-Assad setahun setengah yang lepas – kini sedang bersatu semula serta semakin kukuh dan boleh menjadi hab serantau yang baharu,” katanya yang mengiringi Presiden Emmanuel Macron dalam lawatan ke Damsyik pada Selasa.
Nnnn
